KATA ALUAN PENGETUA
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Salam sejahtera dan salam 1Malaysia.
Syukur Alhamdulillah dengan izin dan kurnia-Nya, saya berpeluang untuk menulis sebaris dua ayat dalam Buku Pengurusan 2015 dan kesempatan bagi saya meneruskan amanah dan tanggungjawab memimpin Sekolah Menengah Kebangsaan Belara bagi tahun 2015.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan selamat kembali menjalankan tugas pada tahun 2015. Semoga dapat menjalankan tugas dengan lebih cemerlang dan penuh dedikasi setelah bercuti akhir tahun.
Tahun 2014 telah kita tempuhi cabaran dan mencipta pelbagai kecemerlangan yang diharungi bersama warga sekolah. Sehubungan dengan itu, hendaknya pada tahun 2015 ini seluruh warga sekolah dapat menunjukkan keazaman dan lebih komited kepada tugas bagi memastikan kecemerlangan terus dimiliki. Guru perlu lebih banyak berkorban dalam pelbagai aspek dan hendaklah bersedia dari segi minda dan fizikal untuk melaksanakan tugas dengan lebih bertanggungjawab, mencabar dan berkesan.
Dalam era globalisasi ini, ditambah dengan arus kepesatan serta Gelombang Tranformasi Pendidikan, warga pendidik diharapkan dapat memahami, mengamalkan dan menghayati Pelan Strategik Pembangunan Pendidikan yang menuntut kita sebagai pendidik untuk lebih peka dan menguasai teknologi dan pengetahuan baru selari dengan hasrat dan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia : PPPM 2013 - 2025.
Dengan ini guru-guru diingatkan agar dapat melaksanakan dasar, aspek dan aspirasi PPPM 2013 - 2025 ini bagi merebut peluang dan cabaran bagi memenuhi aspirasi dan harapan ibu bapa, pelajar, masyarakat dan negara terhadap institusi sekolah. Kejujuran, keikhlasan menjadi tunjang kepada guru melaksanakan PdP secara kreatif dan inovatif, dalam suasana ceria dan gembira sehingga menimbulkan keseronokan pelajar menimba ilmu. Saya percaya kita semua masing-masing berperanan dalam membentuk dan melahirkan pelajar cemerlang yang seimbang, terutama sahsiah dan tingkah laku insan bertakwa dan berbudi timur.
Saya berdoa dan yakin, semoga segala inspirasi murni ini dapat direalisasikan dengan adanya sifat-sifat kebertanggungjawaban, jujur, ikhlas, amanah dan sabar, yang tertanam dalam sanubari setiap pendidik warga SMKB. Insya-Allah.
Akhir sekali saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak pengurusan, guru-guru dan kakitangan sokongan yang telah memberikan kerjasama baik dalam menentukan kelancaran pengurusan dan pengisian agenda pendidikan di sekolah sepanjang tahun lalu dan kerjasama erat dalam penyediaan perancangan pengurusan sekolah serta penyediaan takwim agenda sekolah pada tahun ini.
Marilah kita berazam untuk “Sentiasa Menjana Kecemerlangan Bersama-sama”.
Sekian, terima kasih.
HAJAH WAN KELSUM BINTI WAN HITAM
Pengetua SMK Belara
No comments:
Post a Comment